Anda Kini Boleh Memuat Naik Gambar Pada Pelayar Web Instagram, Termasuklah iPad

Instagram telah mengemas kini pelayar web mereka untuk membolehkan anda untuk memuat naik gambar walaupun tanpa menggunakan aplikasi rasmi mereka. Langkah ini dilihat untuk memudahkan pengguna dengan kelajuan internet yang lambat untuk berkongsikan gambar tanpa memuat turun aplikasi Instagram, ciri ini juga boleh digunakan pada peranti iPad.

Menurut laporan oleh TechCrunch, pengguna boleh melawat pautan Instagram.com pada pelayar web peranti mereka termasuklah iPhone untuk berkongsikan gambar pada rangkaian sosial tersebut. Sebelum ini, pelayar web Instagram hanya membolehkan pengguna untuk melihat gambar pada garis masa sendiri, membuat pencarian, menyemak notifikasi dan menguruskan akaun anda.

Dengan ciri ini, ia juga telah meningkatkan cara penggunaan Instagram pada peranti iPad. Disebabkan peranti iPad tidak mempunyai aplikasi Instagram yang mengikut saiz skrin, pengguna perlu menggunakan aplikasi Instagram versi iPhone yang akan mempunyai kotak hitam disekitar paparan aplikasi dan perlu membesarkan saiz paparan yang agak buruk untuk dilihat.

Kini, anda boleh menggunakan rangkaian sosial Instagram ini dengan selesa dan jelas, cuma ia agak lambat untuk navigasi garis masa dan tidak mempunyai paparan grid profil seperti dalam aplikasi. Anda juga boleh menyimpan pelayar web Instagram ke homescreen untuk memudahkan anda membukanya (Safari > ikon perkongsian > ‘Add to Home’).

 

Sumber artikel: 9to5Mac

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *