Aplikasi Syarikat Rangkaian Memudahkan Urusan Pelanggan

Masih ingatkah anda cara pembayaran bil penggunaan telefon kepada syarikat rangkaian pada waktu dahulu? Kalau 15 tahun dahulu, bersusah payah tunggu bil setiap bulan, lepas tu nak kena pergi ke cawangan syarikat rangkaian. Kos kenderaan, tol, parkir dan lain-lain, banyak dikeluarkan semata-mata nak bayar bil. Untuk yang guna prabayar, nak tambah kredit pun kena pergi ke kedai.

bayar bil

7 tahun yang lepas, syarikat-syarikat rangkaian di Malaysia menambahbaik perkhidmatan untuk memudahkan pelanggan membayar bil pelan pascabayar atau menambah kredit prabayar. Mereka melancarkan laman portal yang boleh diakses melalui Internet. Bil telefon boleh dihantar terus melalui emel atau dimuat turun sahaja daripada laman portal berkenaan. Pembelian kredit tambahan juga disediakan bagi servis prabayar. Lebih banyak kaedah pembayaran dan pelanggan boleh juga membayar terus melalui atas talian. Dah tak perlu nak membazir wang nak bayar parkir, minyak kenderaan/tambang kenderaan dan sebagainya.

 

Kini, selepas beberapa tahun, hampir semua syarikat rangkaian di Malaysia ini menyediakan aplikasi (Apps) yang boleh dimuat turun di peranti pintar masing-masing. Anda boleh melayari aplikasi ini dengan percuma. Malah, jika tiada kredit / kuota data dah habis, anda akan dapat melayari aplikasi ini dengan laju dan pantas khusus untuk memudahkan anda membuat pembayaran ataupun pembelian.

 

Maxis

 

Antara syarikat rangkaian yang terawal yang menyediakan aplikasi untuk pengguna iOS. Sejak tahun 2011, Maxis mewujudkan aplikasi iOS ini bagi memudahkan pengguna dan pelanggan mereka. Mulai tahun 2015, mereka melancarkan MyMaxis App yang merupakan kesinambungan dan mempunyai lebih banyak kemudahan dan ciri-ciri yang hebat. Selain daripada mengetahui info kuota, bil, senarai nombor dan tetapan khas yang lain, anda juga boleh mendapatkan ganjaran, baucer, rebat dan diskaun yang menarik. Sebagai contoh, kolaborasi dengan Lazada pada setiap bulan, ada sahaja Flash Sale yang menawarkan barangan pada harga serendah RM1.00. Begitu juga dengan Burger King, boleh dapat percuma satu lagi set Whopper burger kegemaran anda. Ini semua ialah nilai tambah bagi pelanggan Maxis yang menggunakan aplikasi MyMaxis App.

 

Hotlink

Hotlink yang merupakan jenama prabayar dibawah Maxis juga antara yang terawal menyediakan Apps untuk pengguna prabayar. Anda boleh memeriksa baki kredit, menambah nilai kredit, beli pakej Internet, pakej panggilan dan SMS dan banyak lagi.  Anda juga boleh berkongsi nilai kredit melalui Share-A-TopUp. Tak perlu lagi melalui servis kod USSD, SMS dan sebagainya. Anda juga boleh memuat turun ‘bil’ ataupun senarai penggunaan anda. Ianya seperti bil prabayar Maxis, anda boleh nampak senarai nombor yang anda buat panggilan berserta dengan jumlah masa dan caj bagi setiap satu panggilan. Disertakan juga maklumat bagi SMS, MMS, Panggilan Video, Internet dan sebagainya. Selain itu, melalui tab ganjaran, anda dapat mengumpul mata RED yang mana ianya boleh ditebus untuk mendapatkan hadiah-hadiah tertentu.

 

DiGi

Aplikasi MyDiGi untuk iOS telah lama dikeluarkan. Ianya wujud sejak tahun 2012 lagi. Tidak seperti syarikat rangkaian Maxis dan Celcom, DiGi menggabungkan satu aplikasi untuk digunakan oleh pengguna pascabayar dan prabayar. Melalui aplikasi ini, pengguna dapat menguruskan akaun pascabayar dan akaun prabayar mereka. Ciri tambahan yang menarik ialah tab sokongan yang menyediakan Live Chat terus kepada pihak sokongan DiGi. Pengguna juga boleh turut serta dalam forum komuniti pengguna DiGi untuk menyelesaikan masalah/menyatakan pendapat/berbincang mengenai DiGi. DiGi juga menyediakan ganjaran, rebat, baucer dan diskaun yang hebat. RM0.99 merupakan promosi diskaun yang sangat popular bagi pengguna DiGi

 

UMobile

Seperti DiGi, Umobile juga menggabungkan aplikasi prabayar dan pascabayar. Paparan Antara muka aplikasi MyUmobile ini nampak lebih bertenaga disamping menggunakan warna yang terang. Pengguna dapat melakukan perkara-perkara yang asas seperti membayar bil, menambah nilai dan sebagainya. Tab Rewards dan U Promotion itu merupakan laman di mana Umobile menyediakan promosi-promosi dan hadiah-hadiah tertentu kepada pengguna. Umobile yang dimiliki oleh Berjaya Berhad ini sudah tentu banyak menyediakan promosi bersama-sama dengan syarikat dibawah Berjaya. Aplikasi MyUmobile dilancarkan pada tahun 2015

 

Celcom

Celcom yang merupakan syarikat penyedia rangkaian telefon tanpa wayar yang pertama di Malaysia (dahulunya dibawah Telekom Malaysia), mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan aplikasi iOS untuk penggunan pascabayar. Ianya baru sahaja dilancarkan pada 29 Mac 2017. Seperti biasa, anda dapat menguruskan akaun pascabayar anda. Lihat maklumat, bil, kuota dan sebagainya. Tab promosi juga disediakan. Tab sokongan juga nampak menarik walaupun ianya tidak sebaik DiGi. Pada masa entri ini dibuat, aplikasi ini masih lagi baru dan mungkin pihak Celcom bakal mengemaskini aplikasi ini untuk tampak lebih menarik dan mudah digunakan. Paparan antara muka aplikasi ini sama sahaja dengan XPAX menyebabkan kami tidak faham mengapa perlu dibuat aplikasi berasingan.

 

XPAX

Xpax, merupakan jenama prabayar dibawah Celcom. Aplikasi XPAX iOS ini dilancarkan pada tahun 2016. Ia dilancarkan lebih awal berbanding versi untuk Celcom Postpaid. Paparan antara muka yang biasa-biasa sahaja namun cukup untuk memberikan maklumat yang tepat dan sebaiknya kepada pengguna. Memudahkan pelanggan prabayar XPAX untuk menguruskan akaun mereka.

 

Di atas ini ialah keenam-enam aplikasi daripada empat syarikat rangkaian yang terbesar di Malaysia ini. Kewujudan aplikasi banyak membantu pengguna dan pelanggan untuk menguruskan akaun mereka tanpa perlu bergerak jauh ataupun menghubungi syarikat rangkaian, melalui panggilan telefon.  Kesemuanya boleh diuruskan dengan jari anda pada peranti iOS anda. Jadi, apakah pendapat anda? Adakah aplikasi-aplikasi ini banyak membantu anda ataupun hanya menyusahkan anda? Kongsikan kepada kami pengalaman anda menggunakan aplikasi dari syarikat rangkaian.

Nazrin

Value has a value only if its value is valued

Lihat semua artikel daripada nazrin

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *