Apple Akan Membangunkan Sendiri Cip Grafik Pada Peranti iOS Akan Datang

Syarikat pembuatan dan pereka cip dari British, Imagination Technologies yang membangunkan prosessor grafik PowerVR digunakan dalam peranti iPhone dan iPad telah mengeluarkan kenyataan bahawa Apple tidak lagi akan menggunakan teknologi produk daripada mereka dalam masa lebih kurang dari dua tahun akan datang. Dalam kenyataan tersebut mengatakan, Apple akan menghentikan penggunaan cip daripada syarikat Imagination Technologies dan dilaporkan sedang membangunkan reka bentuk cip serta mengawal produk dengan sendiri. Sebelum ini, Apple sudahpun membangunkan sendiri cip CPU bermula dengan cip siri A4 yang dikilangkan oleh syarikat Samsung.

Peralihan ini memberi tamparan hebat kepada syarikat Imagination dimana separuh daripada pendapatan syarikat ialah disumbangkan oleh Apple dan akan berhenti menerima royalti daripada peranti iPhone dan iPad dalam masa 15 hingga 24 bulan daripada sekarang. Apple kini dilaporkan memegang 8% syarikat dan pernah membuat perbincangan untuk peralihan sepenuhnya tapi ditolak oleh syarikat Imagination Technologies sendiri.

Jika benar seperti yang dilaporkan, peranti iPhone yang akan datang mungkin akan menggunakan cip siri-A dengan CPU dan GPU yang direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh Apple. Ini juga membolehkan Apple untuk mengoptimasikan sistem operasi iOS dengan lebih baik tanpa bergantung dengan pihak ketiga.

Selepas daripada kenyataan tersebut, saham Imagination Technologies $IMG telah turun secara mendadak sebanyak 70%. Menjadikan saham yang paling rendah sejak tahun 2009.

Imagination Technologies juga berkata akan berbincang dengan pihak Apple bagi mencari jalan alternatif untuk melesenkan dan mempatenkan teknologi mereka. Apple enggan mengulas tapi Apple tidak mungkin akan berpaling tadah, kerana Apple lebih suka mengawal kesemua teknologi teras dalam iPhone dan iPad.

 

Sumber artikel: Imagination Technologies, The Verge, 9to5Mac

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *