Apple iPhone Kini Berusia 10 Tahun

Apple Inc. pada masa dahulu dikenali sebagai ‘Apple Computer Inc.’ ialah sebuah syarikat yang menjual dan lebih memfokuskan kepada komputer peribadi seperti iMac, iBook dan Mac G4. Pada waktu itu, mereka tidak dikenali sebagai syarikat yang ingin menghasilkan peranti telefon dan menurut pengasalisa agak jarang untuk berlaku bagi Apple memasuki pasaran telefon malah pasaran telefon pintar.

Pada tahun 2001, Apple telah memperkenalkan Apple iPod generasi pertama yang telah berjaya mengubah industri muzik sehinggalah sekarang. Dengan slogan “1000 Songs In Your Pocket”, ia merupakan permulaan untuk Apple membangunkan peranti kecil kepada pengguna dan menjadi tulang belakang kepada pendapatan Apple. Pada tahun 2004, Steve Jobs mula risau akan persaingan oleh syarikat pembuat telefon yang ingin menyertakan pemain muzik terbina dalam telefon dan akan memberi impak kepada Apple iPod.

Gambar oleh uol.com

Kemudian pada tahun 2005, Apple dan Motorola telah berkerjasama untuk membangunkan telefon ‘Motorola ROKR E1’ atau ‘iTunes Phone’ yang hadir dengan pemain muzik iTunes terbina. iTunes Phone membolehkan pengguna untuk menggunakan iTunes dan memainkan lagu setelah dimasukkan melalui perisian iTunes pada komputer Mac. Kerjasama itu ialah sebagai permulaan awal untuk Apple memasuki industri telefon.

Namun, telefon tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga Steve Jobs sendiri mengkritik selepas pembentangan telefon itu setelah ia gagal menunjukkan ciri keupayaan untuk memainkan muzik pada iTunes dengan betul. Selang beberapa tahun selepas itu, satu revolusi telah diperlihatkan kepada umum.

Pada acara khas Macworld Conference & Expo yang berlangsung pada 10 Januari 2007, Apple telah merevolusikan telefon pintar dengan memperkenal Apple iPhone generasi pertama atau iPhone 2G. Dengan bercirikan kombinasi 3 fungsi utama iaitu “an iPod, a Phone, and an Internet Communicator” dan slogan “Apple reinvents the phone”, ia telah menarik perhatian seluruh pengguna malah syarikat dalam industri telefon pintar lain.

Dengan hanya satu butang di hadapan yang dikenali sebagai ‘Home’ dan paparan skrin 3.5-inci, Apple iPhone telah berjaya mengubah perspektif semua orang mengenai telefon pintar. Tanpa papan kekunci di bawah skrin dan mempunyai teknologi ‘multi-touch’ serta menggunakan sistem operasi iPhone OS 1 yang berasaskan Mac OS X, ia merupakan komputer kecil semua dalam satu yang mudah dibawa ke mana-mana.

Jika dibandingkan dengan teknologi skrin sesentuh pada ketika itu, puratanya perlu menggunakan ‘stylus’ untuk berfungsi dan kadang-kala ia tidak tepat penggunaannya. Menurut Steve Jobs, teknologi pada Apple iPhone generasi pertama ini sekurangnya lebih maju 5 tahun ke hadapan dibandingkan dengan persaingan peranti lain seperti PDA, telefon pintar dan lain-lain pada waktu itu.

Tiada siapa yang dapat menjangkakan bahawa sebuah syarikat komputer telah menghasilkan telefon pintar yang telah berjaya merevolusikan industri dan pasaran telefon pintar serta telco. Ketika acara khas itu berlangsung juga, Steve Jobs telah mengumumkan bahawa Apple kini dikenali sebagai ‘Apple Inc.’, sebuah syarikat yang memfokuskan kepada multinasional elektronik.

Semasa Apple iPhone generasi pertama diperkenalkan, telah berlangsungnya CES 2007 (Consumer Electronics Show) sebuah konvensyen untuk pameran perdagangan elektronik dan teknologi pengguna. Tiada satu pun berita atau media yang bercakap mengenai CES tersebut selepas acara khas Macworld Conference & Expo telah habis dan muka hadapan setiap media bercakap mengenai Apple iPhone ini.

Selepas dari itu, bermulanya episod peranti iPhone ini dengan setiap generasi yang diperkenalkan pada setiap tahun sehinggalah kini. Pada setiap generasi peranti iPhone akan mempunyai ciri-ciri penting dan setiap spesifikasi telah dipertingkatkan mengikut teknologi dari tahun ke tahun. Pada hari ini, Apple iPhone telah berusia 10 tahun selepas generasi pertama mula dijual pada 29 Jun 2007, bermula dari US melalui telco Cingular Wireless yang kini dikenali sebagai AT&T dengan kapasiti storan bermula dari 4GB, 8GB dan 16GB seterusnya di Asia pada tahun 2008.

Gambar oleh Benjamin Geskin.

Pada tahun ini, kita bakal memperlihatkan edisi khas iPhone 8 / iPhone X untuk menyambut ulang tahun Apple iPhone yang ke-10 dan yang akan diperkenalkan serta dibentangkan pada bulan September ini dengan sistem operasi iOS 11 sekali. Menurut khabar angin, iPhone 8 ini bakal mempunyai ciri premium dan teknologi baharu yang tidak ada dalam setiap generasi iPhone lain seperti pengimbas cap jari terbina serta rekaan terbaru yang berlainan tidak seperti model iPhone sebelum ini.

Setelah hampir 10 tahun, pelbagai teknologi baharu telah diperkenalkan dan terdapat pada hampir semua telefon pintar yang dijual dalam pasaran pada ketika ini. Dengan kamera yang berkebolehan untuk menangkap gambar berkualiti seperti DSLR dan beberapa ciri yang memudahkan untuk kita membuat urusan harian. Semuanya atas revolusi yang dibawakan oleh Apple iPhone ini dengan izin-Nya.

Adakah Apple Inc. akan dapat merevolusikan dan menjadi pengaruh seperti Apple iPhone ini sekali lagi? Apakah peranti iPhone pertama yang anda gunakan? Komen di bawah artikel dan entri ini!

 

Sumber gambar di atas sekali: Benjamin Geskin.

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *