iPhone

Apple iPhone Kini Berusia 10 Tahun


Apple Inc. pada masa dahulu dikenali sebagai ‘Apple Computer Inc.’ ialah sebuah syarikat yang menjual dan lebih memfokuskan kepada komputer seperti iMac, iBook dan Mac G4. Pada waktu itu, mereka tidak dikenali sebagai syarikat yang ingin menghasilkan peranti telefon dan menurut pengasalisa agak jarang untuk berlaku bagi syarikat yang bernamakan buah-buahan ini untuk memasuki pasaran telefon, lebih-lebih lagi di dalam pasaran telefon pintar.

Pada tahun 2001, Apple telah memperkenalkan Apple iPod generasi pertama yang telah berjaya mengubah industri muzik sehinggalah sekarang. Dengan slogan “1000 Songs In Your Pocket”, ia merupakan permulaan untuk Apple membangunkan peranti kecil kepada pengguna dan menjadi tulang belakang kepada pendapatan Apple pada ketika itu. Pada tahun 2004 pula, Steve Jobs mula risau akan persaingan oleh syarikat pembuat telefon pintar yang ingin menyertakan pemain muzik terbina dalam telefon dan akan memberi impak kepada Apple iPod.

Kemudian pada tahun 2005, Apple dan Motorola telah berkerjasama untuk membangunkan sebuah telefon ‘Motorola ROKR E1’ atau ‘iTunes Phone’ yang hadir dengan pemain muzik iTunes terbina di dalamnya. iTunes Phone membolehkan pengguna untuk memainkan lagu dan media setelah dimasukkan menggunakan perisian iTunes pada komputer Mac. Hasil kerjama tersebut telah menjadikan sebagai permulaan awal untuk Apple memasuki industri penjualan telefon.

Namun, telefon tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga Steve Jobs sendiri mengkritik selepas pembentangan telefon itu setelah ia gagal menunjukkan ciri keupayaan untuk memainkan muzik pada iTunes dengan betul. Selang beberapa tahun selepas itu, satu revolusi telah diperlihatkan kepada umum.

Pada acara khas Macworld Conference & Expo yang berlangsung pada 10 Januari 2007, Apple telah merevolusikan telefon pintar dengan memperkenal Apple iPhone generasi pertama atau lebih dikenali di kalangan pengguna sebagai ‘iPhone 2G’. Dengan bercirikan kombinasi 3 fungsi utama iaitu “an iPod, a Phone, and an Internet Communicator” dan slogan “Apple reinvents the phone”, ia telah menarik perhatian seluruh pengguna malah syarikat di dalam industri telefon pintar lain.

Dengan hanya terdapat satu butang di hadapan yang dikenali sebagai ‘Home’ dan paparan skrin 3.5-inci, Apple iPhone telah berjaya mengubah persepsi dan perspektif pengguna mengenai telefon pintar. Tanpa papan kekunci di bawah skrin dan mempunyai teknologi penerimaan berbilang sentuhan serta menggunakan sistem operasi iPhone OS 1 yang berasaskan Mac OS X, ia merupakan sebuah komputer kecil semua dalam satu yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja.

Jika dibandingkan dengan teknologi skrin sesentuh yang terdapat pada telefon pintar pada ketika itu, puratanya perlu menggunakan ‘stylus’ untuk berfungsi dan kadang-kala pengunaannya tidak tepat sehinggakan sentuhan tidak diterima dengan betul serta pengguna perlu menyentuh dengan tekanan yang agak kuat. Menurut Steve Jobs, teknologi skrin sesentuh yang terdapat pada Apple iPhone generasi pertama ini sekurangnya lebih maju sehingga 5 tahun ke hadapan dibandingkan dengan persaingan peranti lain seperti PDA, telefon pintar dan peranti lain pada waktu itu.

Tiada siapa pun yang boleh menjangkakan bagaimana sebuah syarikat komputer menghasilkan telefon pintar yang telah berjaya merevolusikan industri dan pasaran telefon pintar serta perkidmatan telekomunikasi. Ketika acara khas itu berlangsung juga, Steve Jobs telah mengumumkan bahawa Apple kini dikenali sebagai ‘Apple Inc.’, sebuah syarikat yang memfokuskan kepada peranti elektronik multinasional.

Sewaktu dengan acara Apple iPhone generasi pertama diperkenalkan, telah berlangsungnya sebuah konvensyen CES 2007 (Consumer Electronics Show) yang berlangsung daripada 9 hingga 11 Januari untuk pameran perdagangan elektronik dan teknologi pengguna. Impak daripada acara bersejarah tersebut, tiada satu pun berita atau media yang menyentuh mengenai konvensyen CES 2007 se muka hadapan setiap media memaparkan berita mengenai Apple iPhone ini.

Selepas dari itu, bermulanya sebuah episod baharu bagi perjalanan peranti iPhone ini dengan setiap generasi yang diperkenalkan pada setiap tahun sehinggalah kini. Pada setiap generasi peranti iPhone akan mempunyai ciri-ciri penting dan setiap spesifikasi juga telah dipertingkatkan mengikut teknologi dari tahun ke tahun. Pada hari ini, Apple iPhone telah berusia 10 tahun selepas generasi pertama mula dijual pada 30 Jun 2007, bermula dari negara Amerika Syarikat melalui telco Cingular Wireless yang kini dikenali sebagai AT&T dengan kapasiti storan bermula dari 4GB, 8GB dan 16GB seterusnya di Asia pada tahun 2008.

Pada tahun ini, kita bakal memperlihatkan edisi khas iPhone 8 / iPhone X untuk menyambut ulang tahun Apple iPhone yang ke-10 dan yang akan diperkenalkan serta dibentangkan pada bulan September ini dengan sistem operasi iOS 11 sekali. Menurut khabar angin, ‘iPhone X’ ini bakal mempunyai ciri premium dan teknologi baharu yang tidak ada dalam setiap generasi iPhone lain seperti pengimbas sekuriti serta rekaan terbaru yang berlainan dan tidak seperti model iPhone sebelum ini.

Setelah hampir 10 tahun, pelbagai teknologi baharu telah diperkenalkan dan terdapat pada hampir semua telefon pintar yang dijual dalam pasaran pada ketika ini. Dengan kamera yang berkebolehan untuk menangkap gambar berkualiti seperti DSLR dan beberapa ciri yang memudahkan untuk pengguna membuat urusan-urusan harian. Semuanya atas revolusi yang dibawakan oleh Apple iPhone ini dengan izin-Nya.

Adakah Apple Inc. akan dapat merevolusikan dan menjadi pengaruh seperti Apple iPhone ini sekali lagi dengan produk lain pada masa akan datang?


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen