Apple Memilih Corning Sebagai Penerima Pertama Dana Pelaburan AS$1 bilion

Minggu lepas, Tim Cook telah mengumumkan satu dana berjumlah AS$ 1 bilion yang akan dilaburkan kepada syarikat perkilangan dan pembuatan di Amerika Syarikat. Dana ini adalah selaras dengan kehendak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu syarikat-syarikat besar seperti Apple ini membantu untuk meningkatkan pengeluaran yang inovatif serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika Syarikat. Sehubungan dengan itu, Apple memilih Corning sebagai penerima pertama dana pelaburan AS$1 billion tersebut.

Apple telahpun bersetuju untuk melabur AS$200 juta kepada Syarikat Corning khususnya untuk membantu mereka mempertingkatkan kajian penyelidikan dan pembangunan, pemprosesan gelas dan modal keperluan yang lain. Syarikat Corning merupakan syarikat yang terkenal dengan jenama Gorilla Glass, iaitu gelas yang biasa dipasang pada skrin telefon bimbit termasuklah iPhone. Dana AS$200 juta itu nanti bakal dimanfaatkan di fasiliti Corning yang berada di Harrodsburg, Kentucky.

Ini bukanlah kali pertama Apple dan Corning bekerjasama. Sejak 10 tahun yang lalu, iPad dan iPhone menggunakan Gorilla Glass pada skrin. Ketua Pegawai Operasi Apple, Jeff Williams mengharapkan dengan dana ini, teknologi gelas skrin dapat dipertingkatkan sekali gus meningkatkan kualiti iPhone dan iPad.

Apple komited untuk terus melabur selaras dengan kehendak Donald Trump yang juga mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan. Ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat.

Sumber: Apple Press Info

Nazrin

Value has a value only if its value is valued

Lihat semua artikel daripada nazrin

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *