Apple Mengukuhkan Kedudukan Sebagai Syarikat Terbesar Dunia, Permodalan Pasaran Melebihi AS$800b

Apple mencipta sejarah lagi apabila menjadi syarikat yang pertama mencatatkan permodalan pasaran melebihi AS$800 billion. Pada penghujung dagangan malam tadi (waktu Malaysia), saham Apple ditutup pada AS$153.99 sekali gus meningkatkan permodalan pasaran mereka kepada AS$802.9 billion. Belum pernah lagi mana-mana syarikat yang merekodkan permodalan pasaran melebihi AS$800 billion. Ini mengukuhkan kedudukan Apple sebagai sebuah syarikat terbesar di dunia.

Apple jauh meninggalkan syarikat Alphabet (syarikat induk bagi Google dan lain-lain) yang berada di kedudukan kedua dengan permodalan pasaran sebanyak AS$661.8 billion. Microsoft, Amazon dan Facebook masing-masing menduduki kedudukan ketiga, keempat dan kelima dengan permodalan pasaran sebanyak AS$553 billion, AS$455.4 billion dan AS$436.1 billion.

Permodalan pasaran secara asasnya dikira melalui jumlah saham didarabkan dengan harga saham. Jika mengikut kepada laporan kewangan Apple pada suku pertama, terdapat 5.214 billion saham direkodkan. 5.214 billion ini didarabkan dengan harga satu unit saham iaitu AS$153.99, ianya menjadi jumlah permodalan pasaran iaitu sebanyak AS$802.9 billion.

Ini bukan kali pertama Apple mencatatkan kejayaan luar biasa sebegini. Sebelum ini, Apple menjadi syarikat terbesar dunia dengan mencatatkan permodalan pasaran melebihi AS$700 billion. Jadual di bawah ini merupakan tarikh dan masa diperlukan oleh Apple untuk mencatatkan sejarah permodalan pasaran mereka sejak Apple memasuki bursa saham. Yang paling cepat ialah dari AS$400 billion kepada AS$500 billion iaitu hanya dalam masa 29 hari sahaja pada tahun 2012.

Harga Permodalan Pasaran Tarikh Masa dagangan (hari)
AS$100 billion 30 Mei 2007 6676
AS$200 billion 9 Mac 2010 699
AS$300 billion 3 Januari 2011 208
AS$400 billion 18 Januari 2012 262
AS$500 billion 29 Februari 2012 29
AS$600 billion 17 Ogos 2012 119
AS$700 billion 10 Februari 2015 622
AS$800 billion 9 Mei 2017 565

Apple mula mengorak langkah untuk mendahului syarikat-syarikat lain khususnya untuk mempertahankan kedudukannya sebagai syarikat terbesar dunia. Persoalannya, mungkinkah Apple mencatat sejarah sekali lagi untuk mencapai syarikat pertama yang merekodkan permodalan pasaran sebanyak AS$1 trillion? Banyak usaha telah dilakukan oleh Apple. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: Reuters

Nazrin

Value has a value only if its value is valued

Lihat semua artikel daripada nazrin

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *