Apple Tegas Dalam Isu Privasi Pengguna – Pernah Ingin Membuang Aplikasi Uber Dari App Store

image by Digitaltrend
Aplikasi Uber

Tahun lepas, Apple menolak mentah-mentah permintaan FBI bagi dalam membantu siasatan bagi kes pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada hujung tahun 2015. FBI meminta Apple untuk menggodam iPhone 5C suspek dan membuat pintu belakang (backdoor) bagi memudahkan FBI untuk menggodam iPhone bagi mendapatkan maklumat bagi siasatan. Apple dengan prinsip mengutamakan privasi pengguna tidak berganjak dalam mempertahankan prinsip tersebut.

Pada 23 April 2017 semalam, New York Times melaporkan bahawa CEO Uber Travis Kalanick telah bertemu dengan Tim Cook di Apple Campus. Pertemuan itu dilaporkan berlangsung pada awal 2015 dimana Timothy D. Cook atau lebih dikenali sebagai Tim Cook, CEO Apple memberi amaran kepada Uber kerana telah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh Apple dalam menghormati privasi pengguna.

Uber dikatakan telah “ditangkap” oleh Apple kerana menggunakan sistem untuk menjejaki peranti iPhone yang telah membuang aplikasi Uber dan membuang semua data yang terdapat dalam peranti iPhone tersebut. Menurut jurucakap Uber berkata kepada The Verge, sistem itu dinamakan sebagai ‘fingerprinting’ yang digunakan oleh Uber bagi mengelakkan penipu dari menggunakan peranti iPhone yang dicuri, memasukkan maklumat kad kredit yang dicuri, membuat tempahan perjalanan mahal dan kemudiannya memadam semua data – membuat berulang-ulang kali.

Namun, walaupun sistem itu tampak penting untuk mempertahankan sekuriti Uber tetapi ia telah melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Apple bagi sebarang aplikasi yang terdapat di dalam App Store. Jika mereka tidak mengendahkan amaran tesebut, aplikasi Uber akan dibuang dari App Store sekaligus akan merugikan Uber dalam mendapatkan potensi pelanggan yang menggunakan sistem operasi iOS.

Selepas dari pertemuan itu, pihak Uber tidak lagi menggunakan sistem tersebut dan kini masih menjadi permintaan ramai sebagai ‘teksi’ mereka.

 

Sumber: 9to5Mac dan Gadgetsnow, Anda boleh lihat artikel penuh di New York Times

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *