Apple WWDC 2017: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Apple WWDC 2017 atau Apple Worlwide Developer Conference merupakan acara khas Apple yang diadakan pada setiap bulan Jun dalam tiap-tiap tahun. Acara khas ini berlangsung selama satu minggu yang memfokuskan kepada pembangun aplikasi untuk membantu mereka mengenali sistem operasi yang telah diperkenalkan dan pengaturcaraan bagi pelajar yang memenangi biasiswa. Selain itu, Apple juga dikhabar akan memperkenalkan produk terbaru mereka pada acara ini.

Pada hari pertama WWDC ini yang akan bermula pada malam ini (pagi Selasa pukul 1.00 pagi), Apple akan membawakan siaran secara langsung yang boleh dilihat oleh semua pengguna seluruh dunia dengan menggunakan peranti iPhone, iPad, atau iPod touch dengan Safari pada iOS 7.0 ke atas, komputer Mac dengan Safari 6.0.5 ke atas pada OS X v10.8.5 ke atas, atau komputer PC dengan Microsoft Edge pada Windows 10 ataupun menggunakan  Apple TV (generasi Kedua / Ketiga) dengan sistem operasi 6.2 ke atas dan Apple TV (generasi Keempat). Bagi yang berminat, anda boleh melayari pautan ini pada peranti masing-masing untuk melihat secara langsung.

Bagi yang tidak boleh melihat secara langsung, anda boleh mengikuti akaun twitter Apple User Group (Malaysia)® @augdotmy untuk ‘live tweet’ mengenai acara khas ini.

Sistem Operasi Dan Perisian

Dalam acara khas ini, Apple akan membentangkan kesemua sistem operasi baharu mereka iaitu iOS 11, watchOS 4, tvOS 11 dan macOS 10.13. Sebahagian daripada ciri utama yang terdapat pada kesemua sistem operasi tersebut bakal dibentangkan kepada umum. Selain daripada itu, Apple juga akan membentangkan perisian versi terbaru iaitu Xcode 9 kepada pembangun aplikasi.

Selepas daripada acara khas ini, kesemua sistem operasi ini hanya dikeluarkan untuk pembangun bagi mencuba dan menguji serta memberi maklum balas kepada Apple sebelum kesemua sistem operasi tersebut yang akan dilepaskan secara rasmi pada bulan September dan Oktober ini kepada semua pengguna. Bagi pengguna berdaftar dengan program Public Beta, sistem operasi iOS 11 dan macOS 10.13 akan dikeluarkan pada bulan Julai. Untuk iOS 11, akan dikeluarkan bersama-sama dengan iPhone 8 / iPhone X.

Bercakap mengenai iOS 11, Apple dilapor akan membuang sokongan aplikasi 32-bit dan menamatkan sokongan untuk peranti 32-bit. Apa yang dimaksudkan ialah aplikasi yang belum dikemas kini kepada 64-bit akan dibuang daripada App Store. Untuk peranti, ia bukanlah kapasiti storan yang dimaksudkan tapi ia adalah unit pemprosesan pusat (CPU) peranti tersebut. Peranti 32-bit yang masih menyokong iOS 10 ialah iPhone 5, iPhone 5c, iPad mini 2 dan iPad mini 3 – kesemua peranti ini tidak disokong untuk sistem operasi iOS 11 yang hanya khas disokong oleh peranti 64-bit sahaja.

iOS 11 juga akan mempunyai pelbagai ciri terbaru antaranya ialah pembayaran melalui iMessage, Facetime video berkumpulan dan aplikasi Music yang memfokuskan kepada video. Paparan antaramuka iOS 11 juga dikhabar bakal diberikan nafas baru dengan paparan ikon yang berlainan daripada iOS 7-10 dan juga ciri yang dinantikan sekian lama ialah ciri Dark Mode, berdasarkan beberapa laporan dan juga penemuan kod Dark Mode yang terdapat pada iOS 10, Apple dilihat sedang mencuba ciri Dark Mode ini sebelum menyertakannya pada sistem operasi seterusnya. Emoji juga bakal ditambah ke dalam sistem operasi iOS 11 sebanyak 69 emoji yang diluluskan.

Kemas Kini Dan Produk Terbaru

Amat jarang sekali untuk Apple memperkenalkan produk terbaru mereka pada WWDC kali ini disebabkan masa yang agak suntuk dengan pembentangan ciri yang terdapat pada setiap sistem operasi dan juga perisian tetapi menurut KGI dan Bloomberg, Apple bakal mengemas kini semua barisan komputer Mac mereka. Kemas kini ini akan meliputi komputer Macbook, Macbook Pro yang dijangka akan diumumkan dan Apple juga berkemungkinan akan mengemas kini komputer Macbook Air.

Ini kerana, bekalan Macbook Pro baharu telah dilanjutkan sehingga beberapa minggu untuk sampai ke tangan pembeli. Apple juga telah mendaftarkan beberapa komputer Mac baharu dan juga iPad Pro 10.5-inci pada Eurasian Economic Commission dalam minggu lepas. iPad Pro 10.5 inci yang terbaru ini yang akan sama seperti rekaan iPad 9.7-inci tapi mempunyai skrin dengan bezel nipis. Peranti tersebut juga dilapor akan mempunyai pengesan cap jari Touch ID atau butang Home terbina pada paparan skrin yang sama seperti iPhone 8.

Siri Speaker (nama tentatif) yang akan menjadi pesaing kepada Amazon Echo dan Google Home bakal diperkenalkan pada acara khas ini. Berdasarkan laporan oleh KGI dan Bloomberg yang terbaru melaporkan, kategori produk terbaru Apple ini memfokuskan kepada peranti pintar dalam rumah dengan mempunyai sokongan AirPlay dan integrasi Siri serta teknologi oleh Beats. Speaker pintar ini dikhabarkan mempunyai berkebolehan untuk mengawal produk pintar HomeKit seperti peralatan, kunci, lampu, dan lain-lain dengan menggunakan arahan suara Siri selain kamera terbina.

Apple sudahpun memulakan proses pengeluaran Siri Speaker ini pada beberapa minggu lepas sebelum memperkenalkan pada acara khas WWDC kali ini.

Rangkuman

Acara khas ini tampak agak padat jika dibandingkan acara khas Apple yang lain. Jika WWDC sebelum ini yang dilihat memfokuskan kepada pengenalan dan pembentangan sistem operasi, Apple kini akan memperkenalkan serta mengemas kini produk pada WWDC kali ini.

Dengan sistem operasi baharu dan juga kemas kini serta produk terbaru, pasti akan membuatkan peminat dan pengguna Apple tertunggu-tunggu akan acara khas ini untuk berlangsung. Sekali lagi saya ingatkan, acara ini akan bermula pada malam ini (pagi Selasa pukul 1.00 pagi) yang boleh dilihat secara langsung pada pautan ini: https://www.apple.com/apple-events/june-2017/ menggunakan peranti peranti iPhone, iPad, atau iPod touch dengan Safari pada iOS 7.0 ke atas, komputer Mac dengan Safari 6.0.5 ke atas pada OS X v10.8.5 ke atas, atau komputer PC dengan Microsoft Edge pada Windows 10 ataupun menggunakan  Apple TV (generasi Kedua / Ketiga) dengan sistem operasi 6.2 ke atas dan Apple TV (generasi Keempat).

Oh ya, tidak ada pengenalan dan pembentangan mengenai iPhone 8 / iPhone X, ia akan berlangsung pada setiap bulan September dalam tiap-tiap tahun – berhentilah dengan mentaliti yang berkata ‘iPon baru tak ada pom’, ‘Apple tak jadi keluarkan iPon baru tahun ni.?’ selepas acara WWDC ini berlangsung.

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

2 thoughts on “Apple WWDC 2017: Apa Yang Anda Perlu Tahu

  • June 6, 2017 at 7:32 am
    Permalink

    If guna iphone 5 64gb can update ios 11 lagi ke?

    Balas

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *