Bloomberg: Apple Akan Memperkenalkan 3 Model iPhone Pada Tahun Ini

Apple kini sedang bersiap siaga untuk mengeluarkan tiga model iPhone mereka pada tahun ini bersama-sama dengan model premium iPhone X yang menggunakan bingkai stainless steel dan paparan skrin melengkung. Menurut Mark Gurman, penganalisis teknologi untuk Bloomberg, model iPhone 7s dan iPhone 7s Plus akan dikeluarkan pada harga yang sama seperti model iPhone 7 dan iPhone 7 Plus yang sekarang bersama-sama dengan model versi tertinggi, ‘iPhone X’ atau ‘iPhone 8’ bersempena ulang tahun ke-10 iPhone.

Namun, menurut Gurman, model peranti iPhone X mungkin tidak akan menggunakan rekaan paparan skrin OLED melengkung tapi sebaliknya akan menggunakan rekaan skrin kaca melengkung di hadapan dan di belakang (reka bentuk peranti iPhone 4/4s yang dahulu) seperti rekaan skrin kaca melengkung hadapan yang terdapat pada iPhone 6, 6 Plus, 6s, 6s Plus, 7 dan 7 Plus.

Seperti sebelum ini terdapat lukisan skematik yang menunjukkan rekaan paparan skrin OLED melengkung untuk model prototaip iPhone X tapi dikhabarkan Apple tidak menggunakan rekaan tersebut. Walaupun ia tidak melengkung tapi Apple mungkin masih akan menggunakan paparan skin OLED menurut Gurman. Apple dilaporkan telah menandatangani perjanjian dua tahun dengan Samsung untuk bekalan 92 juta panel OLED.

Menurut laporan, Apple akan menggunakan rekaan dwi-kamera menegak yang seperti ditujukkan pada skematik iPhone X yang tertiris sebelum ini untuk penggunaan teknologi Virtual Reality (VR). Ini akan membolehkan kamera tersebut berada pada posisi mendatar apabila dimasukkan ke dalam VR Headset. Apple juga dikhabarkan akan mengintegrasi pengesan cap jari Touch ID terbina dalam skrin OLED model premium iPhone X tersebut.

Untuk kamera hadapan pula, Apple dilaporkan akan menggunakan dwi-kamera untuk penggunaan teknologi Augmented Reality (AR) dan akan menggunakan sistem operasi iOS 11 yang bakal diperkenalkan pada acara khas Apple Worldwide Developer Conference (WWDC) pada bulan Jun ini. Selain itu, Apple juga sedang menguji penggunaan cip pemprosesan berasaskan rekaan 10nm bagi ketiga-tiga model baharu yang dijangka akan menawar kadar pemprosesan lebih tinggi tetapi menjimatkan penggunaan tenaga yang lebih efisyen.

Sebarang spekulasi, khabar angin lebih lanjut dan lebih mendalam berkaitan produk Apple baharu ini akan diketahui pada minggu-minggu akan datang. Bagi yang tidak sabar dengan iPhone X atau iPhone 8 ini, tunggu pengumuman dan pengenalan rasmi pada bulan September ini. Lihat juga galeri gambar konsep iPhone X.

 

Sumber artikel: Bloomberg, Engadget dan Amanz

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *