Boleh Atau Tidak Untuk Menampal Tempered Glass Di Belakang iPhone?

Isu ini sudahpun dibangkitkan hampir 2 tahun lepas dimana ada pengguna melaporkan masalah isyarat selular dan wi-fi yang lemah. Majoriti pengguna yang menghadapi masalah ini ialah disebabkan mereka menampal tempered glass di belakang peranti iPhone mereka tersebut dan sebahagian daripada mereka tidak mempercayai penerangan ini.

Walaupun sudah hampir 2 tahun dikongsikan dalam FB Group Apple User Group (Malaysia)® dan akaun Twitter serta Instagram Apple User Group (Malaysia)®, saya kemas kini dan kongsikan sekali lagi penerangan serta maklumat mengenai masalah ini di laman web Apple User Group (Malaysia)® sebagai ilmu pengetahuan untuk pengguna Apple sekalian.

Tiap peranti iPhone mempunyai reka bentuk yang berlainan mengikut model dan terdapat juga beberapa komponen untuk menarik isyarat selular, wi-fi dan lain-lain dari seluruh badan belakang peranti iPhone.

 

Berikut adalah penerangan tentang penampalan tempered glass di belakang iPhone dan juga komponen penting yang terdapat pada setiap model iPhone:

1. iPhone 4/4s – semasa iPhone 4 dikeluarkan dahulu, pernah berlaku kes ‘AntennaGate’ pada keluaran awal. Apabila garisan ditepi bingkai housing dipegang, isyarat selular akan lemah maka Apple membaikpulih dengan mengeluarkan kerangka bumper. Garisan yang terdapat pada tepi bingkai housing itu ialah komponen untuk isyarat selular, wi-fi dan lain-lain ‘keluar’/dapatkan tarikan.

iPhone 4S tidak ada isu AntennaGate ini lagi. Jadi tiada masalah untuk iPhone 4/4s ditampal tempered glass di belakang iPhone.


2. iPhone 5/5s/SE – reka bentuk telah berubah dengan campuran aluminium dan kaca atau lebih dikenali sebagai “Unibody Design”. Rekaan kaca atas dan bawah di belakang peranti rekaan ini berfungsi untuk isyarat selular ‘keluar’/dapatkan tarikan melalui komponen grounding screw yang dilekatkan pada badan belakang iPhone dengan antenna wi-fi yang melekat di belakang kaca atas untuk isyarat wi-fi ‘keluar’/dapatkan tarikan.

Gambar kiri atas: Sumber iLabFactory dan suntingan oleh AppAdvice

Maka dengan kesimpulan ini, iPhone 5/5s/SE tidak boleh sesekali ditampalkan tempered glass di belakang iPhone, ini kerana tempered glass tersebut akan menghalang/mengganggu isyarat tersebut untuk ‘keluar’/dapatkan tarikan secara terus dari bingkai housing aluminium iPhone ini.


3. iPhone 6/6 Plus/6s/6s Plus – juga dengan rekaan terbaru hampir sepenuhnya menggunakan bahan aluminium. Bahan kaca sudah tidak ada dan terdapat 4 komponen garisan di belakang badan iPhone diperbuat daripada bahan plastik yang berfungsi untuk isyarat selular, wi-fi, dan lain-lain ‘keluar’/dapatkan tarikan melalui komponen grounding screw yang dilekatkan secara terus pada garisan itu disebabkan bahan aluminium tidak boleh dilalui secara terus bagi kesemua isyarat tersebut.

Walaupun terdapat tempered glass yang lutsinar pada bahagian komponen garisan itu namun ia masih melekat di atas garisan komponen isyarat dan masih menghalang/mengganggu untuk isyarat selular, wi-fi, dan lain-lain ‘keluar’/dapatkan tarikan secara terus dari bingkai housing iPhone ini.


4. iPhone 7/7 Plus/7s/7s Plus – masih mengekalkan rekaan yang sama tapi garisan untuk isyarat selular, wi-fi dan lain-lain telah diubah dengan hanya satu komponen garisan di atas dan di bawah sahaja. Tiada masalah untuk dilekatkan dengan tempered glass – jika itu menggembirakan anda tapi serius memang nampak hodoh.

NAMUN, bagi pengguna iPhone 7/7 Plus/7s/7s Plus Jet Black tidak disarankan untuk menampal/melekat sebarang tempered glass, screen protector, skins dan coating disebabkan tulisan ‘iPhone’ dan lain-lain yang berada di bawah itu DICETAK pada permukaan licin di belakang iPhone.

Ksyu/MacRumors

Walaupun tidak mengganggu isyarat tapi apabila tempered glass, screen protector, skins dan coating dibuka, tulisan ‘iPhone’ dan lain-lain itu akan terlekat sekali dan akan tertanggalkan dari badan iPhone.


5. iPhone X / iPhone 8 – walaupun belum dikeluarkan malah diperkenalkan, mesti ada yang tertanyakan mengenai rekaan iPhone ini. Berdasarkan khabar angin, rekaan iPhone 8 akan sama seperti iPhone 4/4s dahulu dengan rekaan kaca di hadapan dan di belakang serta garisan isyarat berada di tepi bingkai housing iPhone maka tiada masalah untuk ditampal tempered glass dan lain-lain.

Untuk iPhone 2g, iPhone 3g/3gs dan iPhone 5c, tidak ada masalah untuk menampalkan sebarang tempered glass atau apa sahaja mengikut kehendak anda disebabkan bahan bingkai housing peranti tersebut diperbuat daripada bahan plastik.

Jika anda masih mahu menampal tempered glass di belakang iPhone, beli tempered glass yang mahal atau yang berjenama sebab bahan lebih berkualiti dan teknologi lebih bagus digunakan serta lebih tahan lasak dan tidak mengganggu signal cellular dan wifi berbanding tempered glass yang murah.

 

Bagaimana pula dengan kerangka (case/casing)?

Pasti ada yang tertanyakan bagaimana pula dengan kerangka yang dipakaikan pada peranti kesayangan anda. Jika bahan kerangka tersebut tidak diperbuat daripada bahan besi atau aluminium, (tapi diperbuat dari bahan bahan kulit, getah ataupun plastik) tiada masalah untuk dipakaikan. Kerangka besi atau aluminium (berdasarkan pengalaman sendiri), akan membuatkan kekuatan isyarat menjadi lemah sama seperti tempered glass di atas.

Namun, jika kerangka besi/aluminium tersebut merupakan yang berjenama dan original (bukan tiruan) maka ia tidak ada masalah untuk digunakan. Ini kerana setiap syarikat membuat kerangka akan membuat ujikaji mengenai kesan yang akan berlaku pada kerangka buatan mereka apabila digunakan pada peranti.

Kerangka yang tebal bagaimana pula? Jika bahan diperbuat daripada plastik, getah tidak ada masalah untuk digunakan.

 

Bagaimana pula dengan screen protector?

Juga tidak ada masalah untuk digunakan tetapi terdapat juga pengguna yang melaporkan masalah yang sama apabila dilekatkan screen protector pada belakang peranti mereka. Terpulang pada anda, jika anda menggunakan peranti dengan screen protector dan tiada masalah isyarat lemah maka anda boleh guna tanpa masalah. Jika ada masalah isyarat lemah, maka bukalah screen protector itu.

 

Pada awalnya, ini hanyalah teori dari kepala otak sendiri sahaja dan sebab itulah sebahagian dari pengguna yang menghadapi masalah ini tidak mempercayai penerangan ini pada ketika dahulu. Setelah hampir satu tahun lebih, pihak TerminalTech telah mengeluarkan video serta bukti gambar di atas mengenai komponen grounding screw yang mula tular dan berjaya menerapkan ilmu pengetahuan ini kepada pengguna Apple yang lain.

Tujuan artikel dan post dahulu dibuat bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana penjual/kedai yang menjual produk di atas, hak anda untuk menjual dan hak pembeli untuk membeli. Sebagai manusia biasa, rezeki anda saya tidak boleh halang namun sebagai penjual anda juga perlu tahu masalah yang akan terjadi dengan produk yang anda jual itu.

Terima kasih juga kepada yang berkongsikan penerangan ini kepada pengguna Apple yang lain dan terima kasih juga kepada pihak TerminalTech yang memberikan bahan media sebagai bukti untuk penerangan ini. Teruskan menyokong Apple User Group (Malaysia)® untuk perkongsian info dan maklumat serta ilmu pengetahuan kepada semua pengguna Apple seluruh Malaysia.


Gambar atas sekali: Google

Penafian: Advertorial dari TerminalTech

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *