Berita

Canalys: iPhone 7, iPhone 6s Mendominasi Pasaran Telefon Pintar Bagi Suku Ketiga 2017

Maklumat data baharu yang dikeluarkan daripada firma penganalisis Canalys telah menunjukkan dua peranti milik Apple telah menguasai pasaran telefon pintar yang dijual ada suku ketiga 2017 ini. Canalys menjelaskan masih terdapat peningkatan bagi peranti model lama iaitu iPhone 6s. Bagi iPhone SE pula juga menunjukkan peningkatan, menurut firma tersebut.

Berdasarkan hasil kajian maklumat data tersebut, iPhone 7 dan iPhone 6s telah mengambil dua tempat teratas manakala bagi peranti Apple yang baru dijual iaitu iPhone 8 dan iPhone 8 Plus masing-masing dengan jumlah 5.4 juta unit dan 6.3 juta unit telah terjual.

Menariknya, model iPhone 8 Plus lebih popular berbanding model kecil iPhone 8, mungkin atas faktor ciri Pencahayaan Potret yang terdapat pada iPhone 8 Plus dan iPhone X sahaja. Pada pembentangan kewangan Apple suku ketiga 2017 yang lepas juga menunjukkan peningkatan bagi penjualan peranti iPhone disumbangkan oleh penjualan kesemua peranti ini.

Dari segi penjualan syarikat pengeluar pula, Samsung masih kekal menguasai dengan sebanyak 82.9 juta unit yang telah terjual diikuti dengan Apple di tempat kedua dengan sebanyak 46.7 juta unit dijual manakala di tempat ketiga, keempat dan kelima diduduki oleh jenama syarikat Huawei, Oppo dan Xiaomi.

Maklumat analisa daripada firma penyelidikan seperti IHS Markit dan Strategy Analytics masih lagi belum dikeluarkan buat masa ini yang lebih diterima pakai dengan perbandingan kepada penjualan peranti flagship terkini mengikut model yang dijual di pasaran sekarang ini.

 

Sumber: Canalys