Khabar Angin

‘iPhone SE 2’ Sekali Lagi Dilapor Bakal Dilancarkan Pada Suku Pertama 2018

Apple dilaporkan bakal melancarkan generasi kedua bagi peranti iPhone kompak dan kecil yang masih dijual sekarang ini iaitu iPhone SE. Menurut laporan Economic Daily News terbaru melaporkan, ‘iPhone SE 2’ bakal diperkenal dan dilancarkan pada suku pertama tahun 2018 hadapan.

Laporan tersebut menyatakan, nama tentatif yang diberikan iaitu ‘iPhone SE 2’ akan dipasang dan pengeluaran dikhaskan kepada Winstron yang dipilih sebagai pembekal iPhone SE baharu ini. Winstron, syarikat dari Taiwan sudah mempunyai kilang pemasangan iPhone SE sedia ada di pasaran terkini terletak di Bengaluru, India.

Sebelum ini, sudah pun terdapat laporan daripada laman Focus Taiwan yang menyatakan peranti generasi baharu bagi iPhone SE akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2018, iaitu jarak waktu di antara Januari hingga Mac bagi tahun hadapan.

Apple mula memperkenalkan peranti kompak iPhone SE pada acara khas dalam bulan Mac 2016 yang lepas dan dilancarkan pada bulan yang sama. Dengan jangkaan masa yang diberi dan dinyatakan, ‘iPhone SE 2’ mungkin akan dilancarkan pada bulan Mac tahun hadapan.

Laman web teknologi dari India, Tekz24 sebelum ini juga melaporkan spesifikasi iPhone SE generasi seterusnya akan menggunakan cip pemprosesan Apple A10, 2GB RAM, kapasiti storan 32GB dan 128GB, kamera belakang 12MP dan kamera hadapan 5MP dan bateri berkapasiti 1700mAh. Namun, sumber Tekz24 tidaklah menepati rekod yang tepat dengan laporan khabar angin, ura-ura mengenai Apple.

Rekaan iPhone SE sekarang ini ialah sama seperti rekaan iPhone 5 dan iPhone 5s serta mempunyai spesifikasi dalaman seperti iPhone 6s. Terdapat beberapa konsep yang diperlihatkan dengan menggunakan rekaan skrin bingkai nipis seperti iPhone X yang baharu oleh artis Concept Creator dan pereka Curved.de.

iPhone SE masih lagi dijual sekarang ini dengan variasi kapasiti storan baharu dan harga yang lebih murah. Apple telah menggandakan kapasiti storan kepada 32GB dan 128GB dengan masing-masingnya berharga RM1,749 dan RM2,249 yang baharu.

 

Sumber artikel: MacRumors

Langganan Emel

Dapatkan notifikasi artikel terkini yang diterbitkan atau sebarang entri terbaru secara terus melalui emel anda.