iPhone

iPhone X – iPhone Generasi Hadapan Terbaharu Oleh Apple


Setelah hampir berbulan dengan pelbagai khabar angin, ura-ura dan maklumat yang dijumpai, hari ini Apple dengan secara rasminya telah memperkenalkan peranti ‘iPhone X’ (yang dipanggil sebagai iPhone Ten) bagi menyambut ulang tahun iPhone yang ke-10 tahun. iPhone 2g iaitu model pertama iPhone mula diperkenalkan oleh Steve Jobs pada tahun 2007 dan tahun ini, dengan model yang paling berkuasa telah hadir.

iPhone X mempunyai reka bentuk yang seakan sama seperti iPhone 4 dan iPhone 4s dengan rekaan panel kaca di hadapan dan di belakang. Diperbuat daripada bahan keluli tahan karat (stainless steel) dan kaca, memberikan kesan kilatan pada bahagian bingkai housing iPhone X ini. Pada bahagian depan pula, sangat berbeza dengan model iPhone yang pernah dilancarkan sebelum ini.

Dengan skrin keseluruhan bersaiz 5.8-inci OLED dengan paparan Super Retina pada kadar ketumpatan 458PPI serta Dolby Vision dan HDR10, iPhone X tidak mempunyai sebarang butang pada bahagian depan dan hanyalah satu panel skrin sahaja. Untuk menyalakan skrin, pengguna hanya perlu ‘tap’ pada bahagian skrin dan terdapat penggunaan gesture dengan satu garisan panjang yang terletak pada bahagian bawah skrin. Namun, bagi mengakses Control Center pengguna perlu ‘swipe’ ke bawah pada garisan yang terletak pada bahagian kanan atas (bawah ikon selular, Wi-Fi dan bateri).

Skrin iPhone X juga mempunyai True Tone Display baharu, untuk keseimbangan warna putih skrin seperti yang terdapat pada peranti iPad Pro. Ciri True Tone Display membolehkan warna skrin berubah mengikut kesan cahaya bilik atau persekitaraan, tidak seperti ‘Auto-Brightness’ yang hanya mengubah kecerahan skrin sahaja.

Bagi untuk mengakses peranti, sistem pengesahan imbasan wajah 3D iaitu Face ID diaktifkan secara tetap yang menggantikan Touch ID. Face ID ialah bercirikan sistem imbasan wajah dalam bentuk 3D. Sistem ini juga menyokong pembayaran Apple Pay dan menggunakan spesifikasi kamera hadapan iaitu Truedepth Camera dengan 7-megapiksel bagi ciri baharu iaitu Animoji, membolehkan pengguna untuk membuat emoji bergerak atau beranimasi berdasarkan ekspresi wajah mereka.

Bagi dwi-kamera belakang mempunyai kamera 12-megapiksel yang menggabungkan lensa telefoto (ƒ/2.8) dan lensa sudut-lebar (ƒ/1.8) dengan penstabilan imej optikal (OIS), lensa enam-elemen, empat LED True Tone Flash, dan ciri yang lain. Kedua-dua kamera hadapan dan belakang menyokong Portrait Mode dan ciri baharu iaitu Portrait Lighting yang masih dalam versi beta.

iPhone X dikuasakan dengan menggunakan cip pemprosesan Apple A11 Bionic berasaskan enam teras dengan 3GB RAM. Turut mempunyai M11 motion coprocessor dan neural engine bagi penggunaan Augmented Reality (AR) yang mengabungkan kandungan maya dengan kandungan sebenar menggunakan spesifikasi kamera yang baharu.

Hadir dengan dua warna sahaja iaitu Space Grey dan Silver, tiada warna Gold ditawarkan dan mempunyai sokongan pengecasan tanpa wayar serta kalis air dan debu dengan bacaan IP67. Penggunaan bateri juga dikatakan lebih jimat selama 2 jam berbanding iPhone 7, menurut Apple.

iPhone X akan mula boleh dibuat pra-tempahan pada 27 Oktober dan mula dijual pada 3 November untuk beberapa buah negara terawal. Sama seperti iPhone 8 dan iPhone 8 Plus hanya dua kapasiti storan yang ditawarkan berharga $999 (~RM4203) untuk kapasiti storan 64GB dan $1149 (~RM4834) untuk 256GB. Bagi pengguna di Malaysia, sudah tentu pra-tempahan dan penjualan akan lebih lambat berbanding negara terawal.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen