Berita iPod

iPod Touch Kini Ditawarkan Dengan Pilihan Storan 32GB Dan 128GB


Sebagai peranti terakhir yang masih mempunyai pilihan storan 16GB, Apple hari ini telah menghapuskan pilihan kapasiti storan 16GB dan 64GB bagi peranti iPod touch akhirnya. Ini bermaksud, iPod touch (generasi keenam) yang terkini ditawarkan dan boleh didapati dengan pilihan storan bermula dari 32GB dan yang terbesar ialah 128GB.

Pilihan kapasiti storan ini kini ialah sama dengan peranti iPhone SE, yang juga telah digandakan pilihan storan bermula dari 16GB dan 32GB kepada 32GB dan 128GB pada harga yang sama bermula dari awal tahun ini. Harga untuk iPod touch terbaru ini ditawarkan pada harga RM919 untuk 32GB dan RM1,379 untuk 128GB.

Proses ini ialah untuk menyelaraskan pilihan kapasiti storan ditawarkan bagi kesemua peranti iOS yang dijual pada masa kini setelah iPhone 7 dan iPhone 7 Plus mula hadir di pasaran Malaysia. Oleh dengan itu juga, kesemua barisan peranti iOS yang dijual sekarang ini boleh didapati bermula dari 32GB.

Perubahan pilihan kapasiti storan untuk iPod Touch ini mula dibuat selepas dua tahun dikemas kini dengan spesifikasi 64-bit pemproses Apple A8 yang sama seperti iPhone 6. Pada masa itu, ia merupakan siri flagship CPU Apple tertinggi bagi memastikan iPod touch masih kekal menjadi barisan produk syarikat pada masa tertentu.

Adakah berbaloi untuk dimiliki pada waktu sekarang? Tidak, ini kerana pada tahun ini juga iPod touch bakal menyambut ulang tahun ke-10 pada bulan September ini dan berkemungkinan Apple akan memperkenalkan iPod touch edisi terbaru. Disarankan untuk menunggu sehingga acara khas iPhone 8/iPhone X berlangsung untuk mengetahui sebarang perubahan jika berlaku.

Dari pendapat saya, perubahan kapasiti dengan harga ini adalah untuk edisi terbaru. Namun, jika tidak ada edisi terbaru, ia agak mengecewakan dengan apa yang Apple buat terhadap peranti iPod touch ini setelah ‘di anak tirikan’ pada tahun 2014 dengan tajuk laman iPod dibuang pada menu laman web rasmi Apple.

Bagi storan 16GB dan 64GB, bekalan stok lama masih lagi ada dijual di Apple Authorized Premium Reseller (AASP) atau wakil penjual rasmi Apple tetapi adalah terhad. Mungkin akan ada penjualan penghabisan ataupun penurunan harga yang dijual menerusi wakil penjual masing-masing.

Perubahan ini juga diikuti dengan penamatan iPod nano dan iPod shuffle secara rasmi setelah hampir 12 tahun ia dijual.


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen