iPhone Khabar Angin

KGI: Apple Tidak Beralih Kepada USB-C Untuk iPhone 8/Special Edition


Sebelum ini terdapat laporan oleh WSJ yang mengatakan Apple akan menggunakan port USB-C bagi menggantikan port Lightning pada peranti iPhone 8 tetapi menurut laporan oleh penganalisa KGI, Ming-Chi Kuo mengatakan kesemua iPhone yang bakal keluar pada tahun ini masih akan mengekalkan port Lightning. Apple juga dilapor akan menambahkan teknologi pengecasan pantas (fast charging) pada komponen dalaman daripada Texas Instruments and Cypress.

Teknologi pengecasan pantas menggunakan penyesuai USB-C mula diperkenalkan pada model peranti iPad Pro 12.9 inci tahun lepas. Ia menyokong kelajuan setanding USB 3.0 tapi perlu menggunakan dengan penyesuai USB-C atau kabel Lightning kepada USB-C.

Menurut KGI, dua sebab mengapa Apple masih mengekalkan port Lightning ialah disebabkan royalti program MFi (Made for iPhone/iPod/iPad) daripada ekosistem aksesori iOS dilesenkan oleh Apple kepada syarikat pembuat aksesori dan faktor reka bentuk. Port USB-C lebih besar daripada port Lightning dan Apple sedaya yang mungkin mahu menipiskan lagi peranti iPhone.

Ada juga khabar angin yang mengatakan Apple akan menyertakan sekali kabel Lightning kepada USB-C di dalam kotak berbanding kabel Lightning kepada USB-A. Penggunaan USB-C ini ialah umum dan bukan dikhaskan untuk syarikat pembuat telefon bimbit yang lain. Ia mula berkuat kuasa selepas European Union meluluskan dan melaksanakan protokol undang-undang penggunaan USB-C di seluruh Eropah untuk semua syarikat pembuat telefon bimbit bagi menjimatkan kos pembuatan kabel.

Sumber: 9to5Mac


Tambah Komen

Klik di sini untuk menghantar komen