Lukisan Skematik Teknikal Menyerupai iPhone 8 Tertiris Menunjukkan Pengimbas Cap Jari Di Belakang

Ini ‘mungkin’ skematik teknikal peranti iPhone 8.” Mungkin”. Gambar yang dimuat naik ke laman sosial Weibo hari ini menunjukkan lukisan teknikal untuk generasi peranti iPhone seterusnya iaitu iPhone 8 secara terus daripada kilang pengeluar rasmi Apple, iaitu Foxconn. Lukisan itu menunjukkan kedudukan peranti iPhone 8 hadapan dan belakang dengan bezel skrin nipis pada kiri dan kanan paparan skrin. Sebelum ini, sudah terdapat lukisan skematik yang tertiris sama seperti skematik teknikal ini.

Di belakang peranti terdapat dwi-kamera dan lampu flash yang berkedudukan tegak di sebelah kiri atas dengan jarak untuk pengimbas cap jari Touch ID yang berada di bawah logo Apple. Lukisan itu dilabel dengan dimensi peranti yang lebih kurang sama seperti peranti iPhone 7 – cuma skrin yang lebih besar.

Lukisan ini diandaikan sebagai lukisan skematik untuk Engineering Validation Test (EVT) yang merupakan peringkat pertama dalam pembangunan peranti Apple. Peranti tersebut mestilah diluluskan pada Design Validation Test dan Production Validation Test sebelum dimuktamadkan.

Jika betul, kedudukan pengimbas cap jari Touch ID mungkin juga akan berada di situ disebabkan khabar angin terbaru menyatakan imbasan jari terbina pada skrin untuk iPhone 8 akan menghadapi masalah. Sistem imbasan cap jari terbina yang dibangunkan sendiri oleh Apple iaitu sistem pengimbas biometrik ultrasonik dipercayai mempunyai kadar penghasilan sistem yang perlahan dan sukar diintegrasikan pada paparan skrin peranti. Ini juga mengakibatkan penghasilan peranti iPhone 8 akan mengalami kelewatan untuk mengubah kedudukan pengimbas cap jari ke belakang peranti.

Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan tapi tidak semestinya skematik ini adalah palsu.

Apple dilaporkan akan memperkenalkan tiga peranti iPhone tahun ini iaitu iPhone 7s dan iPhone 7s Plus serta ‘iPhone 8’ atau ‘iPhone X’ atau ‘iPhone Spesial Edition’ atau ‘iPhone Pro’ atau terpulang pada anda nak panggil apa yang akan menyertakan fungsi kamera 3D, pengecasan tanpa wayar, RAM 3 Gigabyte, skrin panel paparan OLED dan reka bentuk yang baharu. Kesemua tiga peranti ini akan diperkenalkan pada bulan September ini.

 

Sumber artikel: 9to5Mac dan Amanz, Gambar: Benjamin Geskin

Haziq Harun

h4zq.com

Lihat semua artikel daripada haziq

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *