Pendapatan Pembina Aplikasi App Store Sudah Melebihi AS$70 Bilion

Apple mengumumkan bahawa jumlah pendapatan pembina aplikasi App Store sudah melebihi AS$ 70 bilion sejak ia dilancarkan pada tahun 2008. App Store merupakan laman di mana pengguna dapat memuat turun aplikasi-aplikasi yang dibuat oleh Apple dan komuniti pembina yang lain ke dalam peranti Apple mereka.

Sejak 12 bulan yang lalu, jumlah muat turun aplikasi telah bertambah sebanyak 70 peratus berbanding sebelumnya. Sudah tentu aplikasi yang sangat signifikan seperti Pokémon GO dan Super Mario Run memberi impak yang besar terhadap jumlah muat turun pada 12 bulan yang lalu. Philip Schiller, Naib Presiden Kanan Pemasaran Sedunia Apple mengatakan pengguna Apple amat gemar untuk memuat turun aplikasi dari App Store. Beliau sangat teruja dengan kehebatan aplikasi yang dicipta dan tidak sabar untuk melihat lebih banyak aplikasi baru pada Konferensi Pembina Apple Sedunia.

App Store

iOS 10 yang diperkenalkan pada tahun lepas banyak membantu untuk mengintegrasikan aplikasi pada peranti iPad, iPhone dan iPod Touch. Hal ini menggalakkan pengguna untuk membeli aplikasi serta melanggan servis dalam aplikasi untuk memudahkan kehidupan seharian mereka. Yang terbaru, banyak pembina yang sudah mula mengintegrasikan aplikasi antara tvOS, watchOS dengan iOS. Perkara ini mendapat sambutan positif daripada pengguna Apple.

App Store

Anda sebagai pengguna Apple sudah tentu sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kejayaan ini. Sokongan daripada pengguna perlu ada untuk memberi semangat kepada pembina-pembina aplikasi untuk terus membina dan membangunkan aplikasi yang boleh membantu hidup manusia. Bukannya mudah untuk membina dan membangunkan sesebuah aplikasi. Ada aplikasi yang memerlukan beratus-ratus pekerja dan mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Sama-samalah kita terus menyokong pembina-pembina aplikasi ini.

Sumber: Apple Newsroom

 

Nazrin

Value has a value only if its value is valued

Lihat semua artikel daripada nazrin

Tinggalkan Komen

Email anda tidak akan didedahkan. Kotak yang dikehendaki ditanda sebagai *