Watch

Apple Watch Series 3 Dengan Sokongan Selular LTE Diperkenalkan

Apple hari ini telah memperkenalkan kemas kini bagi peranti Apple Watch mereka iaitu Series 3. Apple Watch Series 3 ini menyokong penggunaan selular LTE yang membolehkan pengguna untuk menggunakan pelan data tambahan daripada iPhone. Dengan sokongan ini, pengguna boleh membuat dan menerima panggilan telefon, mengetahui lokasi berdasarkan jam mereka dan mengumpul maklumat lokasi dan jarak larian tanpa menggunakan iPhone dengan sokongan selular tersebut.

Masih mempunyai rekaan yang sama seperti model Series 2, pengguna masih boleh menggunakan tali jam yang sama sedia ada pada model Series 3 ini. Kekalisan air masih dikekalkan sehingga 50 meter. Setiap Series 3 ini hadir dengan dua model, satu dengan sokongan selular dan satu lagi tanpa sokongan selular. Untuk model selular, pengguna boleh memasukkan kad sim berbentuk eSIM bagi telco yang menawarkan.

Bagi model selular, pada butang ‘Crown’ tersebut akan terdapat warna merah untuk membolehkan sambungan selular berfungsi secara terus daripada bingkai housing Apple Watch tersebut manakala untuk model tanpa selular, butang ‘Crown’ tidak ada warna merah tersebut. Model selular hadir dengan sokongan LTE dan UMTS dan model tanpa selular dengan sokongan Wi-Fi (802.11b/g/n 2.4GHz) dan Bluetooth 4.2 sama yang terdapat pada model selular.

Apple Watch Series 3 dikatakan mempunyai ketahanan bateri sehingga penggunaan 18 jam tapi bergantung pada aktiviti seharian atau senama yang pengguna lakukan. Penggunaan metrik 18 jam itu termasuklah menyemak jam sebanyak 90 kali, 90 notifikasi, 45 minit penggunaan aplikasi dan 30 minit senaman dengan muzik dimainkan. Bagi model selular ia termasuklah penggunaan 4 jam dengan sambungan selular LTE dan 14 jam disambungkan ke iPhone menggunakan Bluetooth.

Kesemua Series 3 dikuasakan dengan cip pemprosesan Apple S3 berasaskan dua teras dan cip tanpa wayar Apple W2, masih dengan dua saiz iaitu 38mm dan 42mm sama seperti model sebelum ini. Menariknya, Series 3 mempunyai sokongan Siri yang boleh mengeluarkan suara apabila pengguna bertanyakan kepada Siri. Apple kali ini menawarkan empat pilihan bagi model Series 3 ini antaranya ialah Apple Watch, Apple Watch Nike+, Apple Watch Hermès dan Apple Watch Edition.

Apple Watch Series 3 akan mula boleh dibuat pra-tempahan pada 15 September dan mula dijual pada 22 September untuk beberapa buah negara terawal. Ditawarkan dengan harga untuk model selular bermula dari 38mm pada harga $399 (~RM1675) dan 42mm pada harga $429 (~RM1801). Model tanpa selular pula ditawarkan dengan harga bermula dari  $329 (~RM1381) untuk 38mm dan 42mm ialah $359 (~RM1507).

Bagi pengguna di Malaysia, sudah tentu pra-tempahan dan penjualan akan lebih lambat berbanding negara terawal.

Langganan Emel

Dapatkan notifikasi artikel terkini yang diterbitkan atau sebarang entri terbaru secara terus melalui emel anda.